KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2008: "Saya rasa cukup kesian dan sedih sekali apabila melihat keadaan isteri saya, Norazlina Ahmad Din, 32. Sebab, di antara kami berdua, dialah sebenarnya yang paling terasa akan kehilangan anak lelaki kami, Adam Haikal Iman yang baru saja berusia 12 hari. "Bukan mudah dia hendak mendapatkan cahaya mata kedua kami ini. Selain terpaksa berusaha dan menunggu selama 5 tahun, dia juga sering tidak sihat, muntah-muntah serta menerima alahan yang sangat teruk waktu mengandung dulu hingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama berhari-hari," kata Mohd Faizal Ismail, 32, dengan nada yang cukup sebak. Penyampai Hot Fm yang sering digandingan dengan Farah Fauzana menerusi segmen pagi di stesen radio tersebut berkata demikian sebagai mengulas pemergian cahaya mata keduanya itu yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tawakkal, kira-kira jam 5.40 pagi semalam.
Malah, Faizal yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Penyampai Lelaki Popular ABPBH2007 mengakui turut berasa terkilan dengan pemergian anak lelakinya itu kerana tidak diberikan kesempatan untuk melihatnya bertatih serta membesar di hadapan matanya. "Harapan untuk kedua-dua kami mendapatkan anak lelaki sebelum ini memang sangat tinggi sekali. Terutama sekali isteri saya kerana selepas memiliki cahaya mata perempuan, Nur Khairina Iman 6, kalau boleh dia mahukan anak lelaki pula supaya dapat cahaya mata sepasang. "Jadi, apabila doktor mengesahkan dia hamil anak lelaki, dia memang berasa sangat bersyukur dan sangat gembira serta tidak sabar-sabar sekali untuk menimang cahaya mata tersebut. "Maklumlah sudah lima tahun dia dan saya menunggu. Kebetulan pula dia memang ada sedikit kesukaran untuk mengandungkan kerana berhadapan dengan masalah kitaran haid yang tidak normal," katanya.
Sungguhpun begitu, kata Faizal, segala-galanya yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Adakalanya kita sudah merancang yang terbaik tetapi Tuhan jugalah yang menentukan segalanya.
"Apa boleh buat. Inilah kehidupan sebenarnya. Kalau hendak diikutkan saya juga sangat sedih dengan pemergian anak saya ini. Tapi, saya kena kuatkan semangat.
"Sebagai seorang yang membawa kandungan anak kami berdua itu selama lapan bulan lebih, tentulah isteri saya yang paling menanggung bebannya. Saya perlu kuat untuk dia.
"Cuma saya tidak sangka, dia (Adam) pergi terlalu cepat. Anak perempuan saya pun sedih kerana dia sendiri yang pilih nama Adam Haikal Iman itu untuk adiknya. Selama ini, anak perempuan saya memang selalu jadi geng serta pro ibunya.
"Jadi, kalau Adam sudah besar, tentulah saya mahu dia pula jadi geng saya. Apapun, saya reda dengan pemergiannya. Sekurang-kurangnya dia tidak menderita terlalu lama dengan masalah komplikasi dihidapinya pada jantungnya itu.
"Apapun, musibah yang menimpa kami berdua ini langsung tidak membuatkan isteri saya rasa serik untuk mengandung semula. Bahkan, apa yang membuat saya rasa terharu, dia mahu cepat-cepat baik supaya dapat memiliki cahaya mata mata baru," kata Faizal lagi.
Saat-Saat Kritikal Adam Haikal
Adam yang lahir tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan doktor pada 17 April lalu pada awalnya hanya mengalami penyakit kuning yang sering dihidapi kebanyakan bayi kecil sewaktu dia dilahirkan di Hospital Selayang.
Menurut Faizal, sewaktu berada di dalam kandungan lagi, doktor sendiri mengesahkan bahawa Adam adalah bayi yang normal dan tiada apa-apa masalah yang menimpanya ketika itu.
"Berlainan pula dengan isteri saya, alahan yang menimpanya berpunca daripada penyakit tiroid yang dialaminya dan dia perlu mengambil ubat walaupun ianya sebenarnya agak berisiko tinggi untuk kandungannya itu.
"Pada waktu yang sama, doktor juga mengesahkan bahawa isteri saya turut menghidapi darah tinggi dan apabila doktor mendapati darah tinggi tidak stabil, dia terpaksa melahirkan anak kami itu secara pembedahan walaupun tidak cukup bulan," katanya.
Sepanjang melahirkan anak kedua mereka itu, Faizal berkata, isteri berserta anaknya itu berada di dalam keadaan yang selamat, namun mereka terpaksa di tahan di dalam wad selama 6 hari.
"Ini berikutan kerana beberapa masalah kompleks yang dihidapi isteri saya, manakala saya saya pula terkena penyakit kuning tetapi tidak begitu serius. Isteri saya dan anak kemudian dibenarkan pulang selepas itu.
"Saya menghantar mereka ke rumah ibu mertua saya di Sungai Choh, Rawang Selangor. Namun pada hari ke-9, penyakit kuning Adam semakin serius. Kami terpaksa membawanya ke hospital semula.
"Dia terpaksa ditahan. Pada hari ke-11 penyakit kuningnya semakin stabil. Namun doktor mengesahkan bahawa ada denyutan jantung tidak normal pada bayi saya dan Adam perlu dibawa berjumpa dengan doktor pakar di Hospital Tawakkal.
"Di sana, doktor beritahu bahawa terdapat komplikasi pada jantung Adam di mana injap jantungnya tidak lengkap. Malah, tahap survivalnya untuk hidup juga agak tipis. Lebih-lebih lagi lagi kerana dia masih lagi bayi kecil," katanya.
Begitupun, kata Faizal, doktor tetap berusaha untuk menyelamatkan Adam dengan menghantar dia ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk melakukan pembedahan di sana sekitar jam 9 pagi.
"Namun, belum sempat pembedahan dilakukan, pihak hopsital Tawakkal menghubungi kami sekitar jam 5.30 pagi dan memberitahu bahawa keadaan Adam sangat kritikal serta meminta kami datang dengan segera.
"Kira-kira 10 minit waktu sedang bersiap, sekali lagi kami menerima panggilan. Kali ini, panggilan itu memberitahu bahawa Adam sudah tiada dan pagi semalam merupakan pagi yang cukup sedih bagi kami sekeluarga.
"Apapun, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih pada mereka yang cukup prihatin dan mengambil berat terhadap apa yang menimpa saya sekeluarga pada hari semalam.
"Pada yang menghantar ucapan takziah menerusi sms, terimas kasih banyak-banyak. Begitu juga yang datang pada hari pengkebumian anak saya. Tuhan sajalah yang membalas jasa anda semua," katanya.
Jenazah Adam kemudian dibawa ke rumah ibu mertua Faizal untuk dimandikan serta dikapankan sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Sg Choh, Rawang.
Al-Fatihah buat arwah Adam Haikal Iman dan takziah warga murai.com.my ucapkan buat Faizal keluarga.
Gambar:murai.com.my Salin semula dengan cepat:haziqsaid