Jika bersandarkan risiko yang dijelaskan tadi, maka langkah keselamatan berikut masih relevan diamalkan.
* Pasang penampal Setiap kali sistem operasi (OS) terbaru (seperti Windows) dikeluarkan, ini tidak bermakna ia sempurna atau kebal seratus peratus. Lazimnya masih ada kelemahan atau pepijat ditemui selepas OS tersebut dilancarkan. Apabila kelemahan itu dipulihkan, pembuatnya akan mengeluarkan penampal (patch) untuk mengemaskini OS berkenaan. Tanpa penampal ini OS mungkin terdedah kepada aktiviti penggodaman dan ancaman lain.
* Gunakan firewall Perisian atau peranti firewall berfungsi untuk mengawal akses keluar dan masuk PC menerusi internet. Ia boleh menyekat akses tertentu dan mengizinkan data yang baik sahaja melepasinya. Penggunaannya sangat disarankan setiap kali anda menggunakan internet, lebih-lebih lagi jika menggunakan versi Windows yang tidak ditampal/dilindungi. Ia boleh dijangkiti virus dalam tempoh yang singkat apabila mengakses internet. * Gunakan antivirus Peranan antivirus masih penting untuk melindungi sistem daripada jangkitan virus yang senang merebak melalui internet dan e-mel. Sekurang-kurangnya gunakan antivirus yang menawarkan ciri asas termasuklah yang boleh dimiliki secara percuma. Selepas pemasangan, pastikan ia dikonfigurasi manakala ketetapannya diperiksa selalu. Buat pengimbasan menyeluruh dan ia perlu dikemaskini setidak-tidaknya sekali seminggu.
* Pasang anti-spyware Bagi menangani spyware, adware, dan program jahat lain (malware) anda boleh menggunakan mana-mana pakej antispyware yang efektif. Anda juga boleh menggunakan gabungan beberapa perisian percuma untuk melindungi sistem. Spybot Search & Destroy dan MWAV contohnya mudah digunakan dan memiliki ciri ciri menarik. Microsoft AntiSpyware yang disediakan untuk melengkapi Windows juga boleh digunakan. * Kenalpasti penipuan Tipu muslihat boleh memperdayakan seseorang supaya menyerahkan data sulit seperti kata laluan atau data bernilai yang patut dijaga. Muslihat seperti ini pernah berlaku dan kerap dikaitkan dengan penyangak siber. Bagi menangani ancaman ini anda diingatkan supaya tidak menyerahkan data sulit apabila diminta, samada melalui e-mel atau telefon. Alasannya sangat jelas - mereka tidak dikenali dan mahu memperdayakan anda! * Kata laluan kukuh Anda disarankan supaya melindungi sistem dengan kata laluan yang selamat. Gunakan sekurang-kurangnya 8 aksara supaya sukar dipecahkan program pemecah kata laluan. Penggunaan perkataan dalam kamus tidak digalakkan kerana senang dipecahkan. Kalau boleh, gantikan huruf dengan nombor atau simbol, seperti a menjadi @. Anda juga boleh menggunakan frasa tertentu yang disingkatkan untuk dijadikan kata laluan. * Teknologi enkripsi Satu lagi langkah keselamatan ialah penggunaan teknik enkripsi. Perlu diingat, sesetengah kata laluan yang digunakan bagi melindungi aplikasi hanya disorok dan tidak dienkripsi. Ada kemungkinan ia boleh ditemui menggunakan aplikasi tertentu. Jadi, anda disyorkan menggunakan perisian seperti TrueCrypt atau perisian lebih baik untuk mencipta pemacu maya (dienkripsi) sekali gus melindungi fail rahsia dengan lebih efektif. * Penyimpanan data Jangan lupa, simpanan (backup) data adalah langkah proaktif sebelum sistem anda terjejas akibat serangan virus. Amalkan rutin penyimpanan yang sistematik untuk memastikan anda sentiasa mempunyai data yang selamat biarpun PC digodam, dicuri atau hilang. Jika simpanan melibatkan data penting, ia boleh dilindungi dengan kata laluan atau dienkripsi. Siapa tahu, simpanan itu mungkin dicuri atau jatuh ke tangan orang lain.