Aqidah adalah teras bagi ajaran Islam. Pintu masuk kepada Islam adalah aqidah. Salah memahami aqidah menyebabkan salahnya seseorang memahami Islam.
Adalah sesuatu yang silap bagi sebahagian masyarakat, apabila mereka ingin memahami Islam mereka cuba memahaminya dari sudut-sudut yang lain selain daripada aqidah. Ada yang cuba memahami Islam daripada sudut fiqahnya. Ada yang cuba memahami Islam dari sudut tasawufnya. Ada yang cuba memahami Islam dari sudut ekonominya atau politiknya. Sedangkan mereka tidak terlebih dahulu memahami Islam dari sudut aqidah. Maka dengan itu berlakulah berbagai gejala yang salah di kalangan umat islam.
Akhir-akhir ini kita mendengar tentang murtad. Berlakunya gejala murtad di kalangan umat Islam, sekalipun mereka mempunyai pendidikan. Sebahagian mereka barangkali telahpun mengkhatam Al-Quran, bahkan sebahagiannya mempunyai ibu bapa dan keluarga yang terdiri daripada keluarga yang kuat beragama. Ini semua kerana salah faham mereka terhadap aqidah.