Gambar dari murai.com.my (11/04/2008) Teks & Foto:Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2008: Masyhur, berjaya dan terkenal di seluruh dunia pada usia yang cukup muda iaitu 18 tahun, langsung tidak membuatkan penyanyi Beautiful Girls, Sean Kingston, lupa daratan.
Sebaliknya, penyanyi dan penghibur kelahiran Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) ini mengakui bahawa dirinya berasa cukup seronok dengan apa yang sedang dikecapinya pada saat ini.
"Sudah lama saya mengimpikan saat ini iaitu memiliki album yang berjaya dijual dengan banyak, memiliki peminat yang ramai di seluruh dunia serta berpeluang untuk menjelajah banyak negara dan berjumpa dengan orang-orang berbeza.
"Walaupun mungkin saya terpaksa mengorbankan zaman remaja saya bersama rakan-rakan lain yang sebaya namun saya tidak rasa ianya satu kerugian.
"Sebabnya ialah apa yang saya ingin lakukan selama ini adalah menyanyi, menghiburkan orang, membuat muzik serta menghasilkan album. Sekarang ini pun saya sudah rasa tidak sabar untuk muncul dengan album kedua saya.
"Mengenai album ini yang kini sedang dalam pembikinan, saya berhasrat untuk bekerja dengan nama-nama yang besar seperti Timbaland, Kanya West, Ne-Yo dan Fergie.
"Tidak dapat dipastikan bila album ini akan keluar kerana saya masih belum memilih tarikh yang sesuai tapi apa yang boleh saya pastikan, album ini akan cuba dikeluarkan secepat mungkin dan ia akan menjadi sebuah projek studio album yang besar," katanya sewaktu ditemui murai.com.my.
Sean ditemui dalam sidang media sempena menjayakan konsert jelajah Sean Kingston Beautiful Girls World Tour 2008 di Maxis I-Centre, KLCC, petang tadi.
Mengenai pengaruh reggae dan Bob Marley yang kedengaran cukup terkesan di dalam muziknya, Sean akui dia sama sekali tidak dapat mengelak hal itu.
"Datuk saya, Jack Ruby, pernah terbabit dengan kerja-kerja penerbitan album Bob Marley satu ketika dulu dan saya secara tidak langsung saya turut membesar dengan pengaruh muzik yang seperti ini.
"Saya juga menghargai apa yang dilakukan Bob Marley kerana dia banyak menaikkan nama Jamaica dengan muzik reggae yang mual dicetuskannya dan saya rasa saya mahu menjadi sebahagian daripada apa yang dilakukannya," katanya.
Barangkali itulah yang membuatkan Sean lebih gemar menampilkan nama pentasnya sebagai Sean Kingston berbanding nama asalnya, Kisean Anderson.
"Nama pertama saya ialah Kisean atau Sean. Nama kedua ialah Anderson. Tapi saya tidak mahu menggunakan nama itu kerana ia kedengaran cukup lembik. Lalu saya pilih kerana Kingston adalah salah satu kota terdapat di Jamaica dan kebetulan pula aya dibesarkan di sana sejak saya masih kecil," katanya.
Sean juga mempunyai pesanan yang khusus buat peminat di Malaysia dan juga rantau Asean: "Saya amat berterima kasih dengan sokongan tidak berbelah bagi yang diterima daripada peminat di sini. Terima kasih kerana mendengar muzik saya, terima kasih kerana membeli album saya dan terima kasih kerana memuat turun lagu saya."
Sempena dengan konsert jelajah Sean Kingston Beautiful Girls World Tour 2008, Sean juga bakal menghiburkan peminatnya dalam satu persembahan di Kelab Zouk, KL, malam ini.
Malah disebabkan sambutan cukup hangat daripada peminatnya, Hotlink dan Maxis selaku penganjur menambahkan satu lagi lokasi persembahan Sean iaitu pada malam esok di Coco Banana, Sunway Pyramid, PJ bermula jam 9 malam.
Gambar : murai.com.my Salin semula dengan cepat : haziqsaid