Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Pelajar terbaik, tiga prinsip jadi pegangan
Anonymous

Date: Jul 31, 2007
Pelajar terbaik, tiga prinsip jadi pegangan
Permalink   


Pelajar terbaik, tiga prinsip jadi pegangan




PENGURUSAN masa yang baik, kesungguhan belajar berkumpulan dan aktif dalam kokurikulum adalah tiga prinsip utama yang membantu seseorang pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Prinsip-prinsip itulah juga yang dipegang oleh pemenang-pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah-sekolah Teknik Semenanjung Malaysia anjuran Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Pemenang pertama Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan, Lok Tian Wei, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Kedah, berpendapat jika pelajar mempunyai pengurusan masa yang baik mereka boleh menjadi seorang pelajar yang cemerlang.

``Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang kita tidak melihat pada bangsa tetapi kecekapan mereka menguruskan masa iaitu membahagikan antara pelajaran dan kegiatan luar,'' katanya.

Menurutnya, jika pelajar itu gagal cemerlang ini bukan disebabkan mereka tidak pandai tetapi mereka gagal mengimbangi masa mereka dengan baik.

``Mereka tidak serius sedangkan mereka juga pandai tetapi sikap mereka yang suka `main-main' menyebabkan mereka ketinggalan,'' katanya.

Tian Wei merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik membahagikan masa antara pelajaran dan kegiatan kokurikulum.

Dia akan mentelaah pelajaran selepas mengikuti Berita Perdana setiap malam tetapi di sebelah petang dia akan mengikuti aktiviti kokurikulum seperti badminton, tenis dan taekwando.

Tian pernah menyandang gelaran Pendebat Terbaik dalam acara debat sekolah-sekolah teknik zon utara, pemenang kejohanan taekwando sekolah teknik peringkat kebangsaan dan kejohanan catur peringkat negeri.

``Dalam apa juga aktiviti saya akan pastikan saya melakukannya bersungguh-sungguh,'' katanya yang juga mahir bermain piano.

Tian memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 8A dalam Penilaian Menengah Rendah dan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dia kini mengikuti program Matrikulasi di Yayasan Saad sebelum menyambung pelajaran dalam bidang Seni Bina di United Kingdom (UK).

Selain anugerah tersebut dia juga salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan pada majlis itu.

Penerima kedua anugerah berkenaan, Mohamad Pauzi Md. Arop, 18, dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang berkata dia suka belajar secara berkumpulan.

Anak peneroka Felda Jengka ini berkata, walau ada yang berkata belajar berkumpulan bukan satu cara berkesan untuk berjaya, tetapi baginya, ia terpulang kepada sikap individu ketika berkumpul.

``Ia tidak akan menjadi jika pelajar tidak `menjadikannya' iaitu bersungguh-sungguh berbincang dan bertukar-tukar pendapat,'' katanya.

Sikap tidak mahu bertanya juga menjadi salah satu punca pelajar sukar menguasai pelajarannya.

``Jika mereka tidak bertanya sudah tentu kefahaman mereka juga kurang dan sekali gus tidak dapat menguasai pelajaran,'' jelasnya.

Mohamad Pauzi merupakan anak bongsu daripada lapan adik beradik kini mengikuti program matrikulasi di Yayasan Pelajaran Mara sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan di Jepun.

Selain anugerah berkenaan dia juga menerima anugerah pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.

Dia yang turut aktif dalam ko-kurikulum seperti pengakap, pengawas, pengerusi jawatankuasa reka cipta sekolah dan tenis, dia memperoleh keputusan 8A dalam SPM, 7A semasa PMR dan 3A serta 2B semasa UPSR.

Seorang lagi pelajar yang memenangi anugerah berkenaan ialah S. Mohan Raj, 18, pelajar Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu, Melaka.

Mohan merupakan pemenang ketiga dan juga penerima anugerah pelajar cemerlang mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan.

Pemenang pertama anugerah pelajar cemerlang keseluruhan menerima piala pusingan sijil, replika dan wang tunai RM1,000.

Manakala pemenang kedua dan ketiga, masing-masing menerima sijil dan wang tunai sebanyak RM600 dan RM700.

Semua pemenang dipilih berdasarkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kegiatan ko-kurikulum dan melalui temuduga sahsiah oleh panel pemilih anugerah itu.

Sementara sebanyak 31 pemenang bagi anugerah pelajar cemerlang dalam mata pelajaran masing-masing memenangi wang tunai RM500, sijil dan plak.

Majlis berkenaan telah diadakan di Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur dan semua hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Teknikal, Dr. Ahamad Sipon yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Rafie Mahat.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard